MEMIMPIN POLITIK ANAK MUDA
Memimpin politik dalam kalangan anak muda adalah penting kerana mereka adalah golongan yang akan meneruskan kesinambungan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Maka 5 tindakan para pemuda yang boleh dilaksanakan dalam usaha untuk memimpin politik anak muda:
1. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman politik Islam
Salah satu langkah awal adalah meningkatkan kesedaran dan minat anak muda terhadap politik terutamanya politik Islam yang sebenar. Ramai anak muda merasa tidak berminat dengan politik, sama ada disebabkan oleh kurangnya pendidikan politik atau persepsi bahawa politik itu kotor dan tidak relevan.
Oleh itu, usaha perlu dilakukan untuk memberikan pemahaman yang jelas tentang politik Islam yang indah serta kepentingan penglibatan politik dan bagaimana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.
2. Memupuk kepimpinan berasaskan nilai syariat
Memimpin politik anak muda bermula dengan pembinaan kepimpinan yang berasaskan nilai-nilai integriti, keadilan, dan tanggungjawab sosial. Pemimpin muda perlu dibimbing untuk tidak hanya mengejar kuasa, tetapi untuk melihat politik sebagai platform untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memperjuangkan keadilan serta kebajikan rakyat.
3. Menyediakan platform dan peluang untuk anak muda
Dewan Pemuda PAS mempunyai banyak platform yang baik untuk dilibatkan bersama anak muda. Ada lebih 10 kelab berada di bawah Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) yang boleh dilibatkan anak muda untuk turut serta sebagai penggerak.
Jabatan amal Malaysia juga mempunya pasukan sukarelawan yang aktif dalam pelbagai aktiviti Kebajikan dan kemasyarakatan. Penglibatan anak muda seperti ini memberi peluang kepada anak muda untuk mempraktikkan kepimpinan mereka dalam konteks yang sebenar.
4. Memanfaatkan Media Sosial Secara Positif
Anak muda hari ini sangat terdedah kepada teknologi dan media sosial. Memimpin politik anak muda juga bermakna mendidik mereka tentang cara memanfaatkan platform ini secara positif untuk menyebarkan maklumat, mendidik masyarakat, dan menggerakkan perubahan.
Walaupun media sosial boleh menjadi alat yang kuat, ia juga boleh menjadi platform penyebaran fitnah dan maklumat palsu.
Oleh itu, penting untuk mengajar anak muda mengenai tanggungjawab digital dan etika dalam penggunaan media.
5. Melahirkan pemimpin yang berani dan berwawasan
Anak muda perlu dibimbing untuk menjadi pemimpin yang berani memperjuangkan prinsip berlandaskan agama walaupun menghadapi cabaran dan tekanan. Kepimpinan yang berani adalah penting untuk membawa perubahan sebenar dalam politik.
Di samping itu, pemimpin muda perlu mempunyai wawasan yang jelas tentang masa depan negara dan ummah yang melangkaui kepentingan peribadi.
Hanif Jamaluddin

Comments
Post a Comment