RAMADAN BULAN DAKWAH
Ramadan Bulan Dakwah.
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah peribadi akan tetapi juga bulan dakwah. Sejak zaman Rasulullah saw ramadan menjadi medan menghidupkan iman masyarakat.
Dalam sejarah, banyak peristiwa penting berlaku dalam bulam Ramadan di antaranya turunnya wahyu pertama yang memulakan misi dakwah Nabi Muhammad saw, serta kemenangan dalam Perang Badar pada 17 Ramadan tahun 2H.
Walaupun jumlah tentera Islam kecil, kemenangan itu membuktikan bahawa dakwah yang benar disokong oleh kesabaran, disiplin dan pertolongan Allah.
Ramadan mengajar bahawa dakwah bukan hanya dengan kata, tetapi dengan kekuatan rohani dan akhlak.
Dakwah Islam juga sentiasa berhadapan dengan ujian. Sejarah baginda nabi Muhammad saw di Makkah menunjukkan bagaimana baginda dihina, dipulau dan disekat, namun dakwah tidak berhenti.
Bahkan tekanan itulah yang mematangkan umat dan membersihkan niat. Ramadan sendiri melatih kesabaran melalui lapar, dahaga dan kawalan diri seolah-olah latihan tahunan untuk para pendakwah supaya kuat menghadapi cabaran masyarakat, fitnah dan salah faham terhadap Islam.
Dakwah Islam tidak sepatutnya dihalang, tetapi dipermudahkan. Prinsip Islam permudahkan dan jangan menyusahkan.
Ramadan memberi contoh bagaimana masyarakat menjadi lebih lembut hati, masjid dipenuhi, sedekah meningkat dan ruang dakwah terbuka luas.
Maka tugas umat terutamanya pemerintah ialah membuka jalan kepada kebaikan dengan memudahkan majlis ilmu, menyokong kerja kebajikan, serta menyampaikan mesej Islam dengan hikmah, bukan dengan kekerasan atau birokrasi yang menyulitkan.
Dakwah ini kerja mulia. Ia bukan hanya tugas para asatizah atau tokoh agama, tetapi tanggungjawab setiap Muslim mengikut kemampuan melalui kata yang baik, bantuan kepada yang susah, akhlak yang jujur serta pelbavai kebaikan yang lain.
Ramadan mengingatkan bahawa kadangkala satu senyuman, satu juadah iftar yang dikongsi atau satu nasihat boleh menjadi asbab pintu hidayah seseorang.
Maka, jika Ramadan adalah bulan rahmat, ia juga bulan dakwah bulan untuk kita memperbaiki diri dalam masa yang sama kita menjadi sebab orang lain semakin dekat dengan Allah.
Teruskan berdakwah!!

Comments
Post a Comment