ISLAM SISTEM KEHIDUPAN YANG SYUMUL


 ISLAM SEBAGAI SISTEM KEHIDUPAN YANG SYUMUL : MENULUSURI SIRAH POLITIK BAGINDA NABI.


1. Kepimpinan Para Nabi


Allah menjadikan para nabi sebagai pemimpin umat.

Mereka memimpin manusia dalam urusan ibadah, hubungan dengan Allah, dan segala yang berkaitan dengan peningkatan rohani serta keimanan.

Para nabi juga memimpin dalam urusan sosial, politik, dan pembangunan masyarakat, berlandaskan petunjuk Allah.

Kepimpinan para nabi adalah pimpinan rabbani, berpaksikan wahyu.

Setelah kewafatan sesuatu nabi, digantikan oleh nabi lain, sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW, penutup segala nabi.

Maka, urusan rohani hingga ketamadunan perlu dipimpin berasaskan manhaj rabbani. 


2. Islam dan Politik Tidak Boleh Dipisahkan


Sejak zaman Nabi Muhammad SAW, Islam hadir sebagai agama yang syumul (menyeluruh).

Islam bukan hanya ibadah peribadi, tetapi mengatur seluruh kehidupan manusia.

Ulama menjelaskan bahawa khilafah ialah “iqamatud din”, iaitu menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia berpandukan Islam.

Ini termasuk dalam perkara yang ma‘lum min ad-din bi ad-dharurah, yakni sesuatu yang diketahui pasti dalam agama.

Apabila berlaku penyimpangan, maka penyelesaian mesti berdasarkan undang-undang Allah. Sama ada hudud, qisas, atau ta‘zir.

(Rujukan : Asy-syahid Syed Said Hawwa)


3. Contoh Dari Sirah dan Tokoh Islam

a. Syeikh Muhammad Hamidullah al-Hindi

- Seorang tokoh Islam besar, mengislamkan lebih 40,000 orang Eropah.

- Menguasai banyak bahasa dan menghasilkan lebih 1000 jurnal ilmiah.

- Beliau Mlmenolak anugerah Raja Faisal kerana ingin menjaga keikhlasan ilmunya.

Beliau menulis kitab مجموعة الوثائق السياسية (“Kumpulan Dokumen Politik”) antara yang dinaqalkan dalam kitab tersebut : 


- Dokumen-dokumen dakwah Nabi SAW.

- Surat pelantikan petugas kerajaan.

- Kurniaan tanah kepada rakyat.

- Perjanjian keselamatan, nasihat dan tausiyah.

- Surat pengecualian daripada perintah tertentu.

Semua ini menunjukkan bahawa agama Islam mencakupi urusan politik dan pentadbiran.


4. Contoh: Perjanjian Nabi Dengan Yahudi Madinah


Nabi Muhammad SAW menulis Perjanjian dengan Yahudi Madinah selepas peristiwa pembunuhan Ka‘ab bin Asyraf. Ka‘ab dihukum kerana menggangu umat Islam dengan syair-syair fitnah.

Nabi menyeru agar dibuat perjanjian damai, ditulis di rumah Ramlah binti al-Harith.

Umat Islam sepatutnya menyokong sistem perjanjian dan politik berasaskan sunnah, bukan sistem sekular Barat.


5. Kepimpinan dan Jemaah


Contoh Umar Mukhtar. Seorang sufi, ulama dan pejuang Islam yang digeruni penjajah Itali. Namun, beliau difitnah sebagai Khawarij oleh mufti yang menyokong penjajah.

Justeru, wajib berjemaah, kerana pertolongan Allah bersama jemaah  dalam bentuk rohani, mental, dan fizikal.


6. Kepentingan Imamah dan Politik Islam


Ulama ilmu kalam dan tauhid turut membahaskan perihal imamah (kepimpinan). Walaupun ia bukan asas akidah, melanggar syariat dalam urusan politik boleh merosakkan akidah.

Umat Islam mesti mempunyai pemimpin yang melaksanaln hukum Islam.  Melantik pemimpin Islam adalah wajib. Jika tiada, wajib menegakkan kepimpinan Islam untuk melaksanakan perintah Allah.


7. Cabaran Sekularisme


Cabaran besar hari ini ialah fahaman sekular Barat, yang memisahkan politik dan agama. Mereka mahu mencorak Islam mengikut fahaman Barat, agar kuasa mereka kekal.

Bila umat Islam tidak terlibat dalam politik, maka yang menguasai umat Islam ialah golongan sekular.

Islam mesti berpolitik berdasarkan wahyu al-Quran dan as-Sunnah, bukan ideologi manusia.


8. Sistem Politik Dalam Islam (النظام السياسي في الإسلام)


Ketika Nabi SAW berhijrah ke Madinah, lahir kerajaan Islam pertama.

Nabi meletakkan dasar negara dan dasar luar negara. Ini kerja pemimpin negara, bukan sekadar imam masjid.

Baginda mempersatukan Muhajirin dan Ansar sebagai ummatan wahidah.

Kaum Yahudi dipecahkan mengikut kabilah supaya tidak bersatu menentang Islam. Semua yang beriman dianggap umat yang satu

Strategi Nabi ini berjaya membebaskan Madinah dari pengaruh Yahudi.

Inilah siyasah nabawiyyah (politik Nabi) berpandukan wahyu dan hikmah.


9. Kepimpinan Islam dan Pembangunan Generasi


Umat Islam mesti cerdik dalam agama dan strategi, bukan hanya bersemangat tanpa perancangan.

Syed Said Hawwa dalam Usulun fil Amr wal Imarah menyenaraikan 30 sifat pemimpin Islam, antaranya Aqal Politik : yang dibentuk melalui melalui pengalaman dan tarbiyah panjang.

Sebab itu perlu ada sekolah politik Islam, melahirkan generasi yang ditarbiyah secara ruhani. Didedahkan kepada kemahiran dan kefahaman politik Islam.

Sekularisme adalah aliran sesat yang cuba menyingkirkan Islam dari pentadbiran. Maka, besar tanggungjawab abna’ al-harakah (anak gerakan Islam) untuk:

Menyedarkan umat tentang politik Islam. Menolak pemikiran sekular. Menegakkan manhaj rabbani dalam kepimpinan dan kenegaraan.


Ingatlah, agama dan politik dalam Islam tidak pernah terpisah.  “Sesungguhnya pertolongan Allah bersama jemaah.”


Ucapan Perasmian YB Tuan Guru Hj Zulkifli Ismail.

Comments

Popular posts from this blog

"NAJIS" POLITIK YANG MEROSAKKAN

RAMADAN DAN POLITIK ISLAM (1) RAMADAN BULAN KEMENANGAN

RAMADAN BULAN DAKWAH